Monday, October 04, 2010

Rasuah

Rencana ini juga tersiar di CPI Asia  pada 27 September 2010 di bawah tajuk "Makan suap dihalalkan".

Ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak pada perasmian Seminar Serantau "Menjenayahkan Rasuah" Inisiatif Pencegahan Rasuah Bagi Asia dan Pasifik, Bank Pembangunan Asia/Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi yang ke-10 di Kuala Lumpur pada 23 September 2010 mencetuskan ingatan tentang kempen Bersih, Cekap dan Amanah yang dilancarkan lebih dua puluh tahun dahulu.

Apa yang nyata ialah kegagalan kempen Bersih, Cekap dan Amanah (BCA) tersebut manakala rasuah hari ini pula sudah sebati menjadi darah daging setengah-setengah rakyat Malaysia. Tajuk seminar “Menjenayahkan Rasuah” memberi gambaran seolah-olah rasuah bukan satu jenayah pada masa dahulu. Hanya sekarang rasuah diiktiraf sebagai satu jenayah? Sedih bercampur-baur dengan perasaan kecewa yang amat sangat jika benarlah itu pendirian pemerintah. Lucu dan sinis juga apabila mengingatkan bahawa kempen BCA tidak digemblengkan dengan sungguh-sungguh tetapi bertukar bentuk menjadi pelbagai kempen dan slogan lain sepanjang dekad-dekad lalu. Malang sekali segala kempen dan slogan tidak membuahkan hasil yang memuaskan.

Walaupun Badan Pencegah Rasuah telah bertukar nama menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kononnya lebih berwibawa, kejayaan membanteras gejala rasuah masih di tahap lama, yakni banyak ikan-ikan bilis yang dihukum tetapi jerung-jerung besar masih bermaharajalela.

Apabila SPRM atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab disoal tentang kurangnya kes-kes yang melibatkan nama-nama yang berpengaruh, jawapan yang sering diberikan ialah kekurangan bukti. Memang agak sukar memerangkap nama-nama yang berpengaruh kerana jenayah mereka sering melibatkan orang lain yang berkepentingan. Jika yang tertuduh disabitkan kesalahan, mungkin ada pula kesan sampingan kepada orang lain dalam lingkungan yang sama. Apa yang diutamakan ialah menjaga periuk nasi masing-masing. Oleh itu mereka yang terlibat perlu memastikan bahawa nama mereka tidak terpalit bersama-sama yang dituduh. Bukti yang diperlukan tidak akan wujud dan mungkin sengaja dilenyapkan supaya tidak mengarah kepada pihak-pihak tertentu.

Media massa arus perdana sering memuatkan berita tentang tangkapan, tuduhan dan hukuman terhadap pengamal rasuah yang melibatkan jumlah wang yang hanya setitik dalam lautan yang dalam. Walhal kita boleh melihat dengan mata kasar setengah-setengah 'istana' dan aset mewah pemimpin parti pemerintah atau pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mungkin diperolehi daripada hasil gaji atau elaun bulanan mereka semata-mata. Kesangsian tentang punca pendapatan mereka tidak terjawab. Jika mereka benar-benar bijak melabur dan telah melipatgandakan gaji bulanan yang diterima sehingga mampu hidup mewah, tentu sekali mereka tidak ada masalah berkongsi kaedah yang digunakan itu dengan para pembayar cukai negara ini, Sekurang-kurangnya bentangkan semua akaun yang berkaitan dengan harta mereka. Tetapi sebaliknya, mereka mengelak daripada memberi jawapan yang jujur dan nyata.

Kalau pemimpin dan yang berpengaruh tidak tertangkap atau dihukum kerana gejala rasuah, maka terbuktilah kegiatan ini merupakan contoh baik kepada yang berpangkat rendah dan rakyat jelata sebagai jalan pintas mencapai kemewahan. Rajin dan usaha tidak diperlukan dan tidak bernilai lagi. Setiap peringkat mendapat manfaat, dari golongan bawah sehinggalah pucuk pempinan negara. Apa yang dahulu dipandang jijik, telah bertukar sifat sebagai satu lumrah hidup. Kegiatan yang diiktiraf secara tidak langsung memudahkan kerja dan melicinkan perjalanan jentera negara dalam matlamatnya mencapai taraf negara maju pada masa hadapan.

Kerugian dari segi rohani dan jasmani diabaikan dan dilupakan. Apa yang penting, seolah-olah jampi serapah yang menjadi mantra ialah hasrat mengaut sebanyak mana kekayaan negara dengan cara yang paling mudah. Pedulikan orang lain. Hak hidup mewah itulah yang lebih utama. Rasuah telah dihalalkan.

Wang itu memang perlu untuk hidup selesa tetapi kenapa memilih jalan ini? Pada suatu ketika rasuah juga dikenali sebagai makan suap. Alangkah cocok takrif itu yang menggambarkan kegiatan orang yang sedang makan disuap seolah-olah dia masih anak-anak. Orang dewasa masih ditahap kanak-kanak. Sampai bila? Kenapa pula penyuap terus-menerus mengikut rentak yang meminta disuap? Bertepuk sebelah tangan tentu tidak akan berbunyi.

Masing-masing punya alasan sendiri kenapa mereka terjerumus ke kancah yang menjanjikan seribu-satu bentuk kemudahan dan kemewahan. Hidup di abad ke-21 ini pula penuh cabaran dan mereka yang tidak mempunyai apa-apa bekalan atau tidak mahu berusaha keras mendapatkannya memang mudah terpengaruh apatah lagi jika pemimpin dilihat sewenang-wenangnya menggunakan kuasa dan pengaruh untuk terus maju ke hadapan. Siapa yang mahu tertinggal? Jika yang di atas dibenarkan berbuat demikian terang-terangan, apalah salahnya jika yang di bawah pun menikmati sedikit juadah yang dihidangkan. Itulah pemikiran yang tertanam. Tolak ke tepi, pegangan agama, moral atau etika kerana seperti yang semua sedia maklum, itu semua perhitungan masa hadapan. Masa dan saat ini yang mesti diutamakan.

Bolehkah rasuah dibasmi daripada muka bumi? Mungkin tidak seratus peratus tetapi pasti boleh dikurangkan. Pucuk pangkalnya ialah pemimpin sesebuah negara, Hendak seribu daya tetapi setakat ini kurang sekali kesungguhan membanteras gejala yang semakin berleluasa di negara ini. Kempen demi kempen diadakan, badan yang diwujudkan menangani masalah ini dinaiktarafkan, hukuman ditambah tetapi yang benar-benar bersalah tetap bebas.

Kadang-kadang terasa seperti menonton sebuah sandiwara yang dihidangkan untuk mengabui mata rakyat. Kempen dan slogan, perbincangan dan perdebatan, seminar dan ceramah. Setakat itulah nampaknya usaha membanteras gejala ini. Sementara itu, yang sudah mahir dan masak dengan segala selok-belok makan suap akan terus disuap. Penyuap pula memang sedia ada di mana juga. Ada yang terpaksa menyuap tetapi ada juga yang sengaja menyuap supaya mudah mencapai apa yang dihajati tanpa banyak kerenah jentera pentadbiran. Semua mahukan perjalanan hidup yang selesa. Tidak terfikir di benak mereka bahawa penyakit ini akan berterusan jika tidak dicegah dari akar umbinya.

No comments: