Monday, January 24, 2011

Wakil rakyat dan kesihatan

Satu berita yang menggembirakan. Wakil-wakil rakyat mungkin terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun untuk memastikan mereka berkeupayaan menjalankan tugas masing-masing mengikut laporan Sunday Star 23 Januari 2011. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dia akan membuat cadangan tersebut di mesyuarat kabinet yang akan datang memandangkan banyak pilihanraya kecil diadakan berikutan kematian wakil-wakil rakyat akibat pelbagai jenis penyakit.

Semenjak Pilihanraya Umum Mac 2008, sebanyak 14 pilihanraya kecil telah diadakan dan satu lagi akan diumumkan setelah wakil rakyat Merlimau meninggal dunia pada hari Khamis lalu. Sebelas pilihanraya kecil dijalankan setelah wakil-wakil rakyat atau ahli dewan undangan negeri meninggal dunia akibat pelbagai jenis penyakit termasuklah masalah jantung, kanser, angin ahmar dan jangkitan paru-paru.

Cadangan Menteri Kesihatan memang sesuai dengan saranan seorang penulis blog Obefiend supaya mewajibkan pemeriksaan kesihatan untuk semua wakil-wakil rakyat. Dia memberi contoh seorang pelatih yang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum memulakan latihan di sebuah syarikat multi-nasional. Jika pelatih itu gagal di dalam pemeriksaan kesihatan, dia tidak akan dibenarkan membuat latihan di syarikat tersebut. Pelatih itu berjaya menempuh ujian pertama tetapi dikehendaki menjalani satu lagi pemeriksaan kesihatan ketika dia memohon kerja di syarikat yang sama. Sekarang dia diterima bekerja kerana terbukti pelatih itu sihat dan berupaya menjalankan tugas.

Itulah yang sepatutnya diwajibkan kepada semua wakil-wakil rakyat dan yang bercita-cita mahu memegang jawatan itu. Wakil rakyat merupakan pilihan rakyat di sesuatu kawasan dan adalah suara penduduk, orang ramai dan semua yang bermastautin di situ. Harapan yang tinggi diletakkan di bahu wakil rakyat yang terpilih. Mereka yang terpilih ini diberi amanah menjalankan tugas sepanjang tempoh yang diberikan, bukannya separuh jalan sahaja. Kebanyakan calon yang bertanding di dalam sesuatu pilihanraya akan membuat janji-janji kepada penduduk kawasan mereka. Kalau janji-janji tidak dapat ditunaikan kerana mereka pergi menemui ajal terlebih dahulu, pasti penduduk di kawasan itu akan berasa kecewa.

Usaha yang terbengkalai mungkin tidak dapat diteruskan apabila mendapat wakil rakyat yang baru. Wakil rakyat yang baru pula walaupun dari parti yang sama mungkin mahu melihat agendanya yang tersendiri dilaksanakan. Jika wakil rakyat itu dari parti yang lain, kemungkinan rancangan yang terdahulu diabaikan adalah lebih besar. Rakyat di kawasan itu yang menerima akibatnya, wakil rakyat yang terpilih tidak dapat meneruskan usaha yang dijanjikan. Perancangan baru harus dibuat dan kepentingan pihak-pihak yang lain pula mesti diambilkira.

Semua perubahan ini mengambil masa dan perbelanjaan tambahan. Perbelanjaan menjaga ketenteraman awam ketika pilihanraya-pilihanraya kecil setakat ini telahpun melebihi RM50 juta. Suatu angka yang besar dan boleh dimanfaatkan untuk keperluan pembangunan di kawasan-kawasan yang terlibat. Wang rakyat tidak seharusnya dipergunakan sebegitu rupa. Kalau calon-calon dan wakil-wakil rakyat diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun, kos pemeriksaan tersebut tidaklah mencecah sehingga ke jumlah yang begitu besar. Lagipun pada masa ini banyak pusat-pusat kesihatan yang menawarkan pemeriksaan yang komprehensif dengan pakej jangka panjang untuk mengawasi perkembangan tahap kesihatan seseorang. Pemeriksaan setiap tahun sekurang-kurangnya boleh mengenalpasti apa-apa masalah yang mungkin dihadapi. Pencegahan memang lebih baik daripada pengubatan.

Gejala wakil-wakil rakyat yang meninggal dunia akibat penyakit lemah jantung mungkin paparan tentang apa yang berlaku di kalangan rakyat di seluruh negara. Perangkaan sebab kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5% di antara tahun 2005 sehingga 2007 di kalangan lelaki berumur di antara 15-64 tahun dan peningkatan sebanyak 0.8% di kalangan wanita dalam lingkungan umur dan tempoh pemerhatian yang sama. Data terkini mungkin boleh membuktikan sama ada peningkatan itu berterusan atau tidak sehingga sekarang. Tetapi jika dilihat daripada kejadian wakil-wakil rakyat meninggal dunia semenjak kebelakangan ini, andaian peningkatan bertrerusan kematian yang berkaitan dengan penyakit jantung mungkin ada kebenarannya. Sementelah yang meninggal dunia merupakan wakil rakyat, tentu apa yang terjadi pada mereka mewakili juga apa yang berlaku di seluruh negara.

Apa yang pasti dan satu kesimpulan yang amat mudah dibuat kenapa berlaku peningkatan kematian akibat penyakit jantung ialah corak pemakanan dan gaya hidup rakyat pada masa ini yang tidak menyumbang kepada tahap kesihatan yang baik. Perhatikan sahaja apa yang dimakan setiap pagi di warung-warung dan kedai kopi oleh orang ramai. Nasi lemak, mi goreng dan makanan yang berminyak menjadi pilihan utama. Tidak cukup dengan sajian yang begitu membebankan perjalanan jantung kita, ditambah pula dengan meminum teh tarik yang sudah semestinya begitu manis. Kalau diminta minuman yang kurang manispun, sekali-sekala sahaja.

Itu baru bab makanan. Perhatikan pula tahap kecergasan rakyat negara ini. Semakin ramai yang berkereta untuk ke mana-mana dan kalau boleh mahu meletakkan kereta mereka betul-betul di pintu masuk sesuatu bangunan supaya tidak perlu berjalan jauh dari tempat meletak kereta. Apabila ada eskalator di bangunan tersebut, itulah yang digunakan. Tangga hanya perlu jika terdesak iaitu apabila lif atau eskalator rosak. Termengah-mengahlah semua yang menggunakan tangga kerana aktiviti itu jarang-jarang sekali dilakukan.

Manakan tidak. Mana padang permainan kita di bandar-bandar yang semakin canggih dan penuh dengan bangunan pencakar langit atau pusat membeli-belah. Setiap ruang yang ada digunakan untuk membina lebih banyak bangunan. Anak-anak tidak punya ruang untuk berlari-lari, berkejar-kejar sesama rakan. Ibu bapa dan jiran-jiran tidak punya ruang untuk bersantai di petang hari. Masing-masing ke pusat-pusat membeli-belah. Memang berjalan kaki di pusat membeli-belah kadang-kadang memenatkan kerana keluasan ruang perniagaan yang tersedia begitu besar. Berjalan-jalan membeli-belah tidak akan sama dengan berjalan-jalan di padang permainan atau bersukan. Berbeza. Amat berbeza.

Satu aktiviti santai, sementara yang satu mengeluarkan peluh dan menggunakan tenaga. Walaupun mungkin tidak sehebat olahragawan profesional, kegiatan bersukan berkala yang seharusnya dilakukan oleh setiap orang untuk mengekalkan tahap kecergasannya memang membantu. Apabila pemakanan yang seimbang beserta kegiatan beriadah yang merangsang jantung bekerja dengan lebih efisien menjadi rutin hidup, barulah gejala wakil-wakil rakyat satu demi satu meninggal dunia akibat penyakit yang berkaitan dengan jantung boleh berkurangan.


No comments: