Seharusnya tajuk berita yang tersiar pada 3 April 2011 di akhbar Berita Minggu ini menggembirakan semua penganut agama Kristian di Malaysia. Bukankah ini yang dinanti-nantikan semua supaya segala yang keruh kembali jernih. Sekali imbas, memang pendekatan yang diajukan menarik serta begitu adil dan saksama kepada semua yang terlibat.
Jika diteliti sekali lagi, kecacatan paling ketara ialah perbezaan apa yang dibenarkan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Oleh kerana penganut agama Kristian yang lebih ramai di Sabah dan Sarawak, kelonggaran yang lebih meluas diberikan berkaitan pengimportan dan pengedaran kitab Injil di sana. Berlainan pula kaedahnya di Semenanjung kerana penduduk beragama Islam adalah golongan majoriti dan sensitiviti mereka mesti diambilkira. Di manakah letaknya konsep 1Malaysia dalam hal ini dan adakah kenyataan tentang penyelesaian isu Injil hanya gimik untuk menghadapi pilihanraya yang akan tiba di Sarawak.
Rencana di Malaysian Insider memberi ulasan yang jujur tentang isu ini. Komen daripada pembaca-pembacanya juga meluahkan perasaan bimbang dan tidak yakin tentang niat dan ketulusan kerajaan yang memerintah dalam melaksanakan semua pendekatan yang dinyatakan. Sesiapa juga yang pernah mengikuti perkembangan isu-isu sensitif tentang agama atau kaum di Malaysia pasti sedar tentang perjalanan sesuatu penyelesaian. Kenyataan demi kenyataan akan dikeluarkan bahawa masalah yang berbangkit telah menemui jalan penyelesaian yang prihatin terhadap semua yang terlibat. Pemimpin memang berkeyakinan apa yang dirumuskan adalah jalan penyelesaian tetapi pelaksanaannya?
Memang mudah mencapai kata sepakat di meja rundingan jika semua bersetuju bahawa keputusan yang akan diambil adalah untuk manfaat semua. Senario seperti itu jarang sekali terjadi. Tindakan bertolak-ansur yang lebih banyak berlaku tetapi pasti pula ada hadnya. Apabila perkara asaspun tidak dipedulikan dan hanya pandangan dan pendapat satu pihak sahaja yang diyakini benar, timbullah perbalahan semula. Setiap pihak berkeras kepala bahawa pandangannya sahaja yang benar dan tidak boleh tidak, mesti dituruti. Siapa yang mahu begitu?
Begitulah yang sentiasa berlaku di negara ini oleh kerana pihak pemerintah telah lunak dan sebati dengan persetujuan total daripada mereka yang berada di sekeliling. Walaupun ada yang membantah, suara mereka diketepikan, tidak diambil endah. Segala halangan dan rintangan yang timbul akan dibanteras menggunakan segala jentera kerajaan yang boleh digunapakai dan digembleng supaya pandangan yang telah dipersetujui oleh pihak yang tertentu sahaja dilaksanakan sepenuhnya.
Ketulusan adalah sesuatu yang asing dan ganjil bagi mereka yang diamanahkan melaksanakan tugas mencari penyelesaian sesuatu masalah. Sebelum ke meja rundinganpun, telah tertanam niat dan tekad supaya saranan pihak tertentu disokong oleh semua yang hadir. Memang tutur kata manis yang diluahkan menjadi penawar kepada mereka yang masih berharap tetapi kepada yang telah merasai pedasnya, apa yang dikatakan akan disambut dengan sinis. Berdolak-dalik, tidak tetap pendirian dan mengubah sewenang-wenangnya keputusan yang telah dipersetujui menjadi lumrah. Segala tindakan adalah untuk mendapatkan keputusan yang diingini. Ketika ini pilihanraya semakin hampir, dan segala tindak-tanduk mesti selaras dengan matlamat mendapat mandat sekali lagi memerintah negara.
Apalah sangat kata-kata jika tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan iltizam dan kejujuran. Kenyataan demi kenyataan boleh dikeluarkan tetapi hasil pelaksanaan tetap menjadi ukuran sejauh mana keberkesanan sesuatu keputusan. Arahan daripada pihak atasan kadang-kadang mungkin tersasar dalam perjalanan kepada pegawai-pegawai yang sepatutnya menjalankan tugas yang diberikan. Apabila orang ramai bertanya dan ingin tahu kenapa pelaksanaan tidak seiring dengan kenyataan, masing-masing akan menuding jari kepada pihak yang lain. Masing-masing tidak mahu bertanggungjawab.
Tanggungjawab tersebut akan dipikul kumpulan yang lebih vokal, mewakili pihak pemerintah. Mereka bukan penjawat di bahagian pentadbiran di pejabat-pejabat kerajaan tetapi mempunyai peranan mencanang dan menyebarkan matlamat yang tersurat dan tersirat. Mengasak, mendesak dan mengapi-apikan sentimen sesuatu pihak, itulah tugas dan peranan mereka. Mereka menjadi alat yang paling berkesan untuk pihak pemerintah memastikan agenda mereka terus hidup dan kekal. Kaedah ini berbaloi kerana pihak pemerintah boleh menyatakan segala konflik dan amarah yang timbul tidak disebabkan tindakan pemerintah sendiri tetapi akibat pihak-pihak luar yang berkepentingan.
Apa yang pasti, pihak-pihak di luar lingkungan pemerintah ini diberi lampu hijau melakukan apa yang perlu untuk mengetengahkan idea dan buah fikiran yang telah dipersetujui. Pihak pemerintah mengambil jalan mudah, menyatakan keputusan yang telah dipersetujui ramai akan dilaksanakan tetapi hakikatnya akan dibangkang dan dibantah sekeras-kerasnya oleh kumpulan pendesak. Desakan daripada kumpulan seperti itu akan diambilkira oleh pihak pemerintah yang sudah pasti mengharuskan semua pendapat walaupun tidak selaras dengan keputusan yang telah dipersetujui sebelum itu. Alasannya ialah kerana mereka adalah pemerintah untuk semua tanpa membezakan yang melampau dan sederhana. Akhirnya kumpulan yang melampau itulah yang menguasai arah tuju keputusan pihak pemerintah dan pelaksanaan yang sepatutnya dijalankan hilang entah ke mana.
Itulah yang sering berlaku sejak kebelakangan ini di Malaysia. Mungkin tanda-tandanya memang telah lama wujud, cuma kita tidak begitu sedar dan mudah dikaburi dengan janji-janji manis daripada pihak pemerintah.
Isu kitab Injil telah lama menjadi tajuk perbincangan dan rundingan tetapi penyelesaian yang diambil masih belum boleh dibanggakan. Keputusan yang diambil masih lebih berat sebelah kepada satu pihak sahaja. Setakat ini tidak ada pula tanda-tanda bahawa penyelesaian akan benar-benar dilaksanakan sepenuhnya. Kita mesti tunggu dan lihat apa yang terjadi selepas musim pilihanraya berlalu.
Bilakah agaknya seorang penganut agama Islam di Semenanjung Malaysia akan berkata dia selesa dan tidak bermasalah mempelajari lebih lanjut tentang agama lain seperti yang dikatakan oleh seorang pemandu pelancong beragama Islam di Borobudur, Indonesia? Bilakah keyakinan tentang pegangan agama kita tidak akan diganggugugat atau goyah oleh sesuatu perkataan?
No comments:
Post a Comment