Monday, February 07, 2011

Alangkah lucunya negeri ini

Alangkah lucunya negeri ini, sebuah filem Indonesia yang memaparkan pertemuan Muluk, seorang graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan dengan seroang kanak-kanak yang menjadi penyeluk saku. Pertemuan ini mencetuskan idea kepada Muluk untuk mendapatkan pekerjaan bagi dirinya sendiri hasil penyeluk-penyeluk saku tadi. Dia menawarkan khidmat sebagai pengurus kepada kumpulan tersebut supaya dana yang terkumpul boleh berkembang dan mereka boleh menikmati pulangan yang lebih lumayan.

Idea ini ditentang pada mulanya tetapi di atas sokongan pelindung merangkap ketua kumpulan penyeluk saku tadi, Muluk berjaya sedikit demi sedikit membuktikan pendidikan yang diperolehinya selama ini boleh dimanfaatkan. Bapanya sendiri percaya Muluk telah berjaya bekerja sebagai pengurus sumber manusia. Memang tidak salah penjelasan ini kerana Muluk memang mengurus sekumpulan pekerja tetapi bukan mereka yang bekerja di pejabat. Tetapi apabila kenyataan sebenar diketahui, bapa Muluk begitu hampa. Timbullah persoalan halal haram, dan etika moral kerana menggunakan wang hasil mencuri.

Muluk tidak hanya menguruskan kewangan kumpulan penyeluk saku itu tetapi mengajak dua orang rakannya yang juga menganggur memberi pendidikan asas membaca dan menulis serta hal-hal agama kepada kumpulan kanak-kanak tersebut. Di sini juga, terdapat tentangan pada mulanya tetapi lama-kelamaan manfaat mempunyai pendidikan terbukti. Muluk memang mempunyai matlamat dan cita-cita supaya segala yang dilakukannya akan mengubah nasib kumpulan kanak-kanak tadi. Dia inginkan mereka berhenti terlibat dengan kegiatan mencuri dan bertukar menjadi usahawan supaya masa depan hidup mereka lebih terjamin.

Kegiatan mencuri pada pandangan kanak-kanak ini memberikan pulangan yang lebih lumayan berbanding pekerjaan yang dibenarkan di sisi undang-undnag negara. Muluk dan rakan-rakan terpaksa memberi pelbagai contoh dan teladan supaya sekurang-kurangnya sebahagian daripada kanak-kanak itu berani mencuba. Hasilnya tentulah sedikit pada awal penglibatan tetapi kanak-kanak yang mengambil keputusan menjaja barang-barangan di jalanan diberi sokongan supaya terus bersemangat dan mencuba.

Apa yang menarik ialah isu pendidikan itu sendiri yang menjadi bahan perbincangan di antara bapa Muluk dan bakal besannya. Besannya tidak yakin pendidikan itu penting kerana pada permulaan cerita, Muluk masih menganggur walaupun sudah lulus beberapa tahun dan memiliki sarjana pengurusan. Besannya memberi contoh anak-anaknya sendiri telah berjaya berdikari walaupun secara kecil-kecilan menjalankan perniagaan sendiri tanpa berharapkan segulung ijazah. Bapa Muluk pula berpandangan bahawa pendidikan tetap penting cuma mungkin nasib belum menyebelahi anaknya berjaya mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Muluk menggunakan isu pendidikan semasa meyakinkan seorang rakannya supaya mengajar kanak-kanak yang terbiar itu. Rakannya yang mempunyai sarjana pendidikan telahpun berputus asa dan saban hari hanya bermain daun terup bersama rakan-rakan yang sebaya. Rakannya pula tidak yakin manfaat pendidikan tetapi seperti kata Muluk, kesimpulan itu sendiri terhasil akibat pendidikan yang telah diperolehi. Kebolehan berfikir dan mencapai sesuatu kesimpulan adalah hasil pendidikan kalau tidak mereka hanya mengikut arahan.

Satu babak filem itu menonjolkan bagaimana asas membaca dan menulis begitu penting walaupun hanya untuk kanak-kanak kumpulan penyeluk saku. Rupa-rupanya pernah terjadi salah seorang daripada mereka lari ke arah balai polis ketika dikejar orang ramai kerana kanak-kank itu tidak tahu membaca papan tanda yang terpampang. Cuma nasib masih menyebelahi kanak-kanak itu dan dia berjaya mengelak daripada ditangkap dan dipenjarakan. Mengimbas kembali peristiwa itu memberikan semangat baru kepada kumpulana kanak-kanak itu bahawa pendidikan memang penting.

Muluk juga memberi contoh bagaimana hasil pendapatan penyeluk saku tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan hasil rasuah yang dikecapi oleh orang yang berpendidikan. Kumpulan kanak-kanak itu begitu terangsang mahu belajar kerana bermimpikan pulangan yang lebih lumayan hasil rasuah. Ketika ini peranan rakan-rakan Muluk yang mengajar tentang etika, moral dan agama mengambil tempat. Konsep baik dan buruk, syurga dan neraka, perasaan bangga dan yakin terhadap diri sendiri dan negara disemai. Bukan pekerjaan yang mudah kerana kanak-kanak ini tidak pernah melalui semua proses ini. Mereka adalah anak-anak jalanan dan sudah sebati dengan dunia penyeluk saku.

Babak yang memaparkan bapa Muluk mengasingkan bekas kopi, teh dan gula kepada yang mana milik Muluk dan yang mana miliknya sendiri sambil menyatakan kekesalan tentang punca hasil pekerjaan Muluk meyakinkan kita bahawa isu halal haram memang satu isu yang telah termaktub hitam putihnya kepada kebanyakan orang. Apa yang diajar selama ini oleh para pendidik adalah sesuatu hasil itu sudah semestinya halal atau haram jika dikaji dari mana asalnya. Apa yang dilakukan Muluk sudah terbukti haram kerana memakan hasil perbuatan mencuri. Walaupun Muluk mempunyai niat memperbaiki kehidupan kumpulan kanak-kanak penyeluk saku itu, matlamat tidak menghalalkan tindakannya.

Muluk terpaksa akur dengan ketetapan itu dan hanya mampu berharap segala usahanya membuahkan hasil. Malangnya, beberapa orang kanak-kanak yang berani mencuba menjaja di jalanan hampir-hampir ditangkap pihak penguatkuasa bandar kerana undang-undang tidak membenarkan pengemis atau penjaja di jalanan. Muluk berjaya menghalang kumpulan kanak-kanak itu daripada ditangkap dan bertikam lidah dengan pegawai-pegawai penguatkuasa betapa menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan patut dibenarkan berbanding kegiatan rasuah yang bermaharajalela di seluruh negara.

Apa yang boleh dilakukan oleh pegawai-pegawai tadi? Mereka hanya berkemampuan menahan Muluk dan juga orang lain yang menghalang perjalanan trafik di bandar-bandar. Mereka tidak punya kuasa atau pengaruh untuk menahan pegawai-pegawai atasan daripada terus-menerus mengagih keuntungan daripada kegiatan rasuah. Walaupun haram, rasuah melicinkan perjalanan pentadbiran dan tempiasnya boleh dinikmati semua.

Gandingan yang amat berbahaya. Pendidikan dan rasuah.