Surat daripada seorang pembaca kepada
editor the
Star pada 10 Oktober 2011 yang bertajuk “Report card on
previous Budget is what's required” memang dihargai. Intipati surat
itu menyatakan bagaimana saban tahun rakyat dihidangkan dengan bajet
yang pelbagai tetapi setelah pembentangan bajet, tidak ada pula
maklumbalas tentang sama ada langkah-langkah yang telah diambil
melaksanakan bajet berjaya atau tidak mencapai matlamat yang
diidamkan.
Sebagai contoh dipetik satu perenggan
daripada bajet 2012 yang berkaitan dengan Skim
Persaraan Swasta:
“Skim Persaraan Swasta
108. Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka
yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara,
saya telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk
caruman kepada KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi
caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim
Persaraan Swasta. Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat di usia
persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang dijangka
dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman
dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun.
Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta
dan anuiti insurans dirasionalkan.
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam
Skim Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan
Swasta.”
Dana Pencen Swasta? Hmmm, apa yang kita
tahu tentang Dana ini? Setakat ini perancangan dan pelaksanaannya
masih kabur dan belum ada maklumat yang lebih terperinci. Dalam masa
setahun semenjak Bajet 2011 apakah yang telah dilaksanakan, siapakah
yang telah mendapat manfaat dan adakah keberkesanannya menyeluruh,
meliputi sejumlah besar pekerja swasta? Itulah soalan-soalan yang
harus dijawab dalam Bajet 2012. Adakah insentif yang diberi dalam
Bajet 2012 membuktikan bahawa apa yang dijalankan dalam tempoh
setahun dahulu telah berjaya atau sebaliknya.
Jika dilihat setiap bahagian Bajet
2012, pasti ada kesinambungan daripada bajet-bajet terdahulu. Itu
sudah sepatutnya kerana apa yang baik harus diteruskan dan yang
kurang berfaedah ditiadakan. Setiap bajet juga akan cuba
memperuntukkan sejumlah dana untuk perancangan masa hadapan. Jangan
lupa, dalam keghairahan mengejar impian, jangan pula apa yang
dikendong keciciran.