Sunday, September 19, 2010

Penduduk tetap atau rakyat negara tetangga

Membaca rencana yang tersiar di akhbar The Star 18 September 2010 mungkin pada mulanya tidak memberi apa-apa kesan pada kita, rakyat Malaysia.

Perenggan tentang satu rancangan radio di Singapura membuka mata. Program itu berhubung kenyataan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong bahawa kerajaan akan menghubungi kumpulan penduduk tetap yang terpilih di negara itu yang akan digalakkan mendapatkan taraf kerakyatan. Mengikut katanya, jika mereka tidak mahu menjadi rakyat negara tersebut, status penduduk tetap tidak akan diperbaharui.

Program radio itu mendapat banyak panggilan daripada penduduk tetap negara tersebut terutama sekali yang berasal dari Malaysia mengkritik kenyataan Goh Chok Tong. Ramai di antara rakyat Malaysia yang disoal sama ada mereka akan memilih kerakyatan Singapura berbanding status penduduk tetap, menjawab mereka tidak akan memilih kerakyatan negara tersebut dengan memberi alasan bahawa keluarga mereka masih di Malaysia.

Ada pemanggil yang menyatakan bahawa dia datang ke negara tersebut untuk mencari wang dan tertarik dengan standard hidup yang lebih tinggi tetapi lambat-laun akan pulang juga ke negara asalnya. Seorang expatriat pula menyatakan bahawa sejumlah kecil sahaja expatriat yang akan menjadikan pulau kecil itu sebagai tempat tinggal tetap mereka walaupun pulau itu terkenal mewah dan makmur.

Memang pelbagai alasan diberikan kenapa penduduk tetap tidak mahu menjadi rakyat jiran tetangga kita. Bukankah ini satu bukti kesetiaan dan cintanya rakyat Malaysia terhadap tanah air mereka sendiri walaupun kebanyakan daripada mereka yang berkerja di sana adalah dari kumpulan yang sering dilabel kaun pendatang. Malahan pada masa ini, semakin banyak pula rakyat negara ini daripada kumpulan bumiputra yang mencari nafkah bukan sahaja di Singapura bahkan di negara-negara lain di dunia.

Mereka berhijrah ke negeri orang bukan kerana tidak sayangkan tanah tumpah darah mereka tetapi keadaan negara pada masa ini seolah-olah mengusir mereka ke tempat lain. Situasi ini adalah yang sama dialami oleh negara-negara jiran kita yang menyaksikan ramai rakyat mereka bersusah-payah datang ke sini mencari rezeki. Ramai rakyat Malaysia walau ke hujung dunia pun masih tertambat hatinya ke negara kelahiran mereka. Keadaan dalam negeri sendiri banyak mempengaruhi keputusan mereka untuk ke luar negara.

Memang mudah untuk yang berfikiran sempit melabel mereka yang ke luar negara sebagai pembelot, penderhaka atau sekurang-kurangnya tidak mengenang budi. Tetapi jika segala titik peluh mereka sering dipandang sinis, seolah-olah ada rencana besar mahu mengambil alih hak bumiputra, tentu sekali mereka yang ke luar negara berhak berbuat demikian. Kumpulan bukan bumiputra digalakkan menyumbang segala ikhtiar dan usaha mereka dalam proses pembangunan negara tetapi sumbangan dan penat lelah itu jarang sekali dinobatkan atau diberi penghargaan sewajarnya.

Hanya konco-konco atau mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak pemerintah diberi muka. Bagaimana pula nasib kumpulan menengah atau yang masih kais pagi makan pagi. Kumpulan ini tidak terhad kepada bumiputra sahaja tetapi merangkumi semua. Oleh itu, tentu sekali apabila ada peluang mencari rezeki di tempat lain, ia tidak disia-siakan. Tempat lain memberi segala kemudahan dan peluang untuk maju terus. Berbekalkan usaha dan iltizam, kejayaan boleh dicapai tidak seperti di negara sendiri yang mewujudkan pelbagai kekangan dan halangan.

Bilakah pemerintah akan sedar bahawa negara bukan sahaja kehilangan penduduk dari kumpulan yang dilabel pendatang tetapi sedikit demi sedikit yang bukan pendatang pun, iaitu bumiputra tidak senang dengan keadaan semasa dan mengangkat kaki ke luar negara sebagai tanda protes. Memang hujan emas di negeri orang, lebih baik di negeri sendiri, tetapi sampai bilakah kita sanggup dibuai janji-janji kosong.

Penduduk negara ini semakin berpandangan luas dan tidak mudah dikotak-katikkan oleh puak-puak yang mahukan kekayaan negara hanya untuk mereka dan yang bersekutu dengannya. Sampai bila kita akan dipandang remeh, seolah-olah masih anak-anak, dihujani dolak-dalik, alasan demi alasan. Kita semua adalah rakyat Malaysia, bukan pendatang. Kalau hendak bertegang urat tentang takrif siapa yang datang dulu ke tanah air ini, hanya Orang Asal yang berhak mendabik dada tanpa was-was.

Pucuk pimpinan pada masa ini tidak menunjukkan kesungguhan menangani isu penghijrahan rakyat ke luar negara. Alangkah sedihnya bahawa mereka tidak sedar betapa negara kerugian besar. Manusia adalah aset paling berharga sesebuah negara. Lihat sahajalah jiran tetangga kita yang dikatakan hanya sebesar noktah. Aset manusia merekalah dan sebilangan besar adalah dari Malaysia yang membawa mereka ke mercu kejayaan. Tanpa apa-apa sumber hasil sendiri, mereka berjaya melangkau jauh ke depan, sebaris negara-negara maju yang lain.

Malang sekali bagi kita, Malaysia semakin ketinggalan. Hasil negara entah ke mana, tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk semua golongan di serata pelusok dan daerah. Kita bertungkus-lumus membangunkan negara walaupun sumbangan kita tidak seberapa. Tentu sekali kita juga berhak menikmati hasilnya. Kita semua memang berhak ke atas kekayaan nagara ini. Bukan untuk golongan tertentu sahaja tetapi terbukti hanya peratusan kecil terus-menerus menikmati kemewahan dan tidak pula mereka rasa bersalah. Memang, perasaan bersalah itu tidak mungkin wujud dalam diri mereka kerana apa yang lebih penting ialah mengaut keuntungan sebanyak mungkin secepat mungkin selagi hayat masih ada.

Tamak dan haloba itulah panduan hidup kumpulan ini.

Monday, September 06, 2010

Meninjau kembali masalah ekuiti korporat Bumiputera

Di bawah ini adalah terjemahan bebas rencana yang tersiar di CPI Asia pada 4 September 2010.



Meninjau kembali masalah ekuiti korporat Bumiputera
oleh Dr Lim Teck Ghee

Lebih daripada lima tahun telah berlalu sejak laporan kajian korporat oleh Asli mendedahkan bahawa pemilikan ekuiti korporat Bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur telah melebihi matlamat 30 peratus.

Penemuan kajian ini tentang 45 peratus saham Bumiputera berasaskan kaedah pengukuran yang berbeza berbanding dengan yang rasmi. Menggunakan nilai pasaran dan bukan kaedah rasmi penilaian nilai nominal, dan memperuntukkan ekuiti GLC berdasarkan perkongsian mengikut kaum, kajian mendapati bahawa sudah tiba masanya untuk menamatkan dasar yang telah dilaksanakan sejak tahun 1970-an.

Penemuan kajian ini tidak sahaja mencetuskan reaksi yang negatif kerana bukan hanya mencabar data rasmi tentang saham ekuiti yang dimiliki oleh masyarakat Melayu tetapi apa yang lebih penting telah mencabar ortodoksi rasmi.

Reaksi keras daripada pelbagai para pemimpin UMNO pada waktu itu menunjukkan kemarahan mereka - dan mungkin rasa takut - bahawa kajian Asli menidakkan keyakinan yang telah lama dipegang tentang bagaimana strategi ekuiti korporat Bumiputera perlu untuk kemajuan ekonomi Bumiputera dan sinonim dengan kepentingan Melayu.

Hilang dalam badai api itu ialah cadangan kajian tersebut yang merangkumi isu-isu yang luas. Cadangan-cadangan tersebut disampaikan semula di bawah ini.
Saya berharap cadangan-cadangan itu akan dibaca dengan lebih hati-hati oleh kumpulan para penggubal dasar dan ahli politik pada masa ini yang cuba mencari jalan keluar daripada apa yang telah disebut sebagai "pencemaran DEB" - penilaian yang dibuat oleh salah seorang ahli bank terkemuka negara, Nazir Razak.


Penemuan-penemuan tentang ekuiti korporat (dari Laporan Pusat Pengajian Dasar Awam) 
 
GLC adalah pemegang saham ekuiti korporat yang utama. Pola operasi GLC kurang sekali mencerminkan keupayaan keusahawanan dan pembikinan.


Badan penyelia memastikan bahawa 30% daripada ekuiti syarikat yang disenaraikan adalah dimiliki oleh Bumiputera. Namun begitu, badan-badan ini tidak pula memastikan bahawa Bumputera perseorangan yang diperuntukkan sebahagian besar ekuiti syarikat yang disenaraikan, terutama saat IPO, mengekalkan pemilikan ekuiti ini.


Pengagihan saham syarikat yang disenaraikan kepada para pemegang saham minoriti Bumiputera semasa IPO harus dilakukan dengan cara yang lebih adil dan telus.Pada masa ini, kumpulan elit mendapat faedah daripada IPO tersebut, dan saham itu dengan cepat dijual semula untuk keuntungan besar.


Penjualan terus menerus oleh pemegang saham Bumiputera (sebahagiannya untuk kepelbagaian aset) merupakan punca utama apa yang disebut "kurang prestasi" Bumiputera berhubung dengan matlamat ekuiti korporat DEB berdasarkan definisi rasmi.


Bahkan jika penjualan ini tidak dikira, saham Bumiputera dalam ekuiti korporat saat ini jauh melebihi sasaran 30 peratus, jika metodologi pengukuran yang lebih objektif digunakan.


Usaha kerjasama intra-etnik di kalangan pengusaha China yang terkemuka amatlah sedikit.Terdapat semakin banyak bukti tentang kerjasama antara-etnik berdasarkan para rakan kongsi yang memberikan sumbangan yang sama untuk pembangunan sesebuah syarikat.

Peraturan dan dasar kerajaan, terutama dalam bentuk tindakan DEB, mengekang pembangunan keusahawanan dan menghalang pelaburan domestik dan asing.


Cadangan berkaitan ekuiti korporat.

Perusahaan yang dimiliki oleh GLC harus dikendalikan oleh profesional yang cekap dengan kepakaran dalam perniagaan syarikat di bawah seliaan mereka. Kedudukan pengurusan senior tidak harus ditentukan berdasarkan latar belakang etnik tetapi pada prestasi dan pencapaian profesional.


Kerajaan harus berhenti memperuntukkan ekuiti kepada Bumiputera individu sewaktu IPO. Peruntukan saham kepada Bumiputera sebelum IPO cenderung mempromosikan hubungan Ali-Baba dan hanya menjejaskann kepercayaan pelabur dan merangsang syak-wasangka.


Badan amanah Bumiputera, seperti ASN dan ASB, harus menjadi penerima manfaat utama dari IPO yang diperuntukkan untuk kumpulan sasar ini. Pada masa yang sama, harus ada keazaman yang sama oleh kerajaan untuk meningkatkan penyertaan saham daripada komuniti India dan Bumiputera Malaysia Timur melalui badan-badan amanah berasaskan masyarakat yang serupa.


Inisiatif kerajaan untuk mempromosikan pembangunan keusahawanan berdasarkan tindakan afirmatif akan menjejaskan usaha para usahawan, yang muncul terutama di kalangan IKS, tanpa sokongan pemerintah.


Kerajaan harus memusatkan perhatian mempromosikan sektor ekonomi yang penting dan IKS sebagai cara mengembangkan potensi ekonomi Malaysia.Kerajaan khususnya harus memanfaatkan potensi kelas menengah baru untuk memperkembangkan syarikat-syarikat dan mencari cara menyokong usaha tersebut.


Tindakan afirmatif berorientasikan kaum dan promosi perniagaan milik Melayu telah mencetuskan perpecahan intra-etnik Melayu yang serius dan pada ketika yang sama menghalang pembentukan persekitaran ekonomi yang berdaya saing. Kerajaan tidak harus meneruskan promosi dasar-dasar tersebut.


Dalam mengira saham ekuiti syarikat untuk setiap kumpulan etnik, adalah perlu berkongsi saham GLC mahupun syarikat penama sesuai dengan komposisi etnik negara. Ini akan memberikan pengiraan yang lebih adil dan objektif berkaitan saham untuk setiap kumpulan etnik, berbanding dengan metodologi saat ini.


Dasar kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera Melayu dan etnik minoriti lain dalam bidang perdagangan dan industri adalah lebih baik dicapai melalui usaha peningkatan kapasiti seperti pelaburan dalam pembangunan sumber daya manusia dan latihan kemahiran daripada langkah pemaksaan penstrukturan ekuiti.


Perlanjutan wayang berkaitan ekuiti korporat Melayu

Kita dapat memahami mengapa Perkasa, dan kumpulan parasit yang serupa sentiasa mengamuk tentang masalah ekuiti korporat. Gerakan nasionalis ultra sangat memerlukan isu-isu yang boleh memberikan mereka mandat sebagai pelindung kepentingan Melayu dan menggagalkan reformasi struktur yang diperlukan negara untuk membangun.

Apa yang tidak dapat difahami adalah mengapa UMNO terus menekankan tentang pencapaian sasaran saham ekuiti korporat menurut kaum sebagai matlamat utama yang perlu dicapai, untuk orang Melayu dan negara secara keseluruhan.

Ini benar-benar sasaran yang salah untuk difokuskan kerana telah terbukti lagi meyakinkan bahawa ia hanya menguntungkan sebilangan kecil ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dan sudah kaya dan para pemimpin politik - dalam jumlah yang mungkin tidak lebih daripada beberapa puluh ribu sebanyak-banyaknya individu dan keluarga mereka.

Kita mungkin berfikir bahawa RM52 bilion daripada RM54 bilion nilai ekuiti yang dijual oleh pelabur Bumiputera pilihan antara tahun 1985 dan 2005 sudah menjadi bukti yang cukup bahawa orang dalam kumpulan ini tidak perlu faedah yang lebih banyak dan tumpuan khusus.

Lebih penting lagi, matlamat ekuiti korporat Bumiputera adalah salah kerana hal itu hanya akan mengalihkan perhatian daripada cabaran lebih penting bahawa negara dan khususnya Melayu dan masyarakat Bumiputra lain perlu hadapi.

Nota: Artikel ini pertama kali muncul di akhbar mingguan China, 'Red Tomato'.