Sunday, September 19, 2010

Penduduk tetap atau rakyat negara tetangga

Membaca rencana yang tersiar di akhbar The Star 18 September 2010 mungkin pada mulanya tidak memberi apa-apa kesan pada kita, rakyat Malaysia.

Perenggan tentang satu rancangan radio di Singapura membuka mata. Program itu berhubung kenyataan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong bahawa kerajaan akan menghubungi kumpulan penduduk tetap yang terpilih di negara itu yang akan digalakkan mendapatkan taraf kerakyatan. Mengikut katanya, jika mereka tidak mahu menjadi rakyat negara tersebut, status penduduk tetap tidak akan diperbaharui.

Program radio itu mendapat banyak panggilan daripada penduduk tetap negara tersebut terutama sekali yang berasal dari Malaysia mengkritik kenyataan Goh Chok Tong. Ramai di antara rakyat Malaysia yang disoal sama ada mereka akan memilih kerakyatan Singapura berbanding status penduduk tetap, menjawab mereka tidak akan memilih kerakyatan negara tersebut dengan memberi alasan bahawa keluarga mereka masih di Malaysia.

Ada pemanggil yang menyatakan bahawa dia datang ke negara tersebut untuk mencari wang dan tertarik dengan standard hidup yang lebih tinggi tetapi lambat-laun akan pulang juga ke negara asalnya. Seorang expatriat pula menyatakan bahawa sejumlah kecil sahaja expatriat yang akan menjadikan pulau kecil itu sebagai tempat tinggal tetap mereka walaupun pulau itu terkenal mewah dan makmur.

Memang pelbagai alasan diberikan kenapa penduduk tetap tidak mahu menjadi rakyat jiran tetangga kita. Bukankah ini satu bukti kesetiaan dan cintanya rakyat Malaysia terhadap tanah air mereka sendiri walaupun kebanyakan daripada mereka yang berkerja di sana adalah dari kumpulan yang sering dilabel kaun pendatang. Malahan pada masa ini, semakin banyak pula rakyat negara ini daripada kumpulan bumiputra yang mencari nafkah bukan sahaja di Singapura bahkan di negara-negara lain di dunia.

Mereka berhijrah ke negeri orang bukan kerana tidak sayangkan tanah tumpah darah mereka tetapi keadaan negara pada masa ini seolah-olah mengusir mereka ke tempat lain. Situasi ini adalah yang sama dialami oleh negara-negara jiran kita yang menyaksikan ramai rakyat mereka bersusah-payah datang ke sini mencari rezeki. Ramai rakyat Malaysia walau ke hujung dunia pun masih tertambat hatinya ke negara kelahiran mereka. Keadaan dalam negeri sendiri banyak mempengaruhi keputusan mereka untuk ke luar negara.

Memang mudah untuk yang berfikiran sempit melabel mereka yang ke luar negara sebagai pembelot, penderhaka atau sekurang-kurangnya tidak mengenang budi. Tetapi jika segala titik peluh mereka sering dipandang sinis, seolah-olah ada rencana besar mahu mengambil alih hak bumiputra, tentu sekali mereka yang ke luar negara berhak berbuat demikian. Kumpulan bukan bumiputra digalakkan menyumbang segala ikhtiar dan usaha mereka dalam proses pembangunan negara tetapi sumbangan dan penat lelah itu jarang sekali dinobatkan atau diberi penghargaan sewajarnya.

Hanya konco-konco atau mereka yang mempunyai hubungan dengan pihak pemerintah diberi muka. Bagaimana pula nasib kumpulan menengah atau yang masih kais pagi makan pagi. Kumpulan ini tidak terhad kepada bumiputra sahaja tetapi merangkumi semua. Oleh itu, tentu sekali apabila ada peluang mencari rezeki di tempat lain, ia tidak disia-siakan. Tempat lain memberi segala kemudahan dan peluang untuk maju terus. Berbekalkan usaha dan iltizam, kejayaan boleh dicapai tidak seperti di negara sendiri yang mewujudkan pelbagai kekangan dan halangan.

Bilakah pemerintah akan sedar bahawa negara bukan sahaja kehilangan penduduk dari kumpulan yang dilabel pendatang tetapi sedikit demi sedikit yang bukan pendatang pun, iaitu bumiputra tidak senang dengan keadaan semasa dan mengangkat kaki ke luar negara sebagai tanda protes. Memang hujan emas di negeri orang, lebih baik di negeri sendiri, tetapi sampai bilakah kita sanggup dibuai janji-janji kosong.

Penduduk negara ini semakin berpandangan luas dan tidak mudah dikotak-katikkan oleh puak-puak yang mahukan kekayaan negara hanya untuk mereka dan yang bersekutu dengannya. Sampai bila kita akan dipandang remeh, seolah-olah masih anak-anak, dihujani dolak-dalik, alasan demi alasan. Kita semua adalah rakyat Malaysia, bukan pendatang. Kalau hendak bertegang urat tentang takrif siapa yang datang dulu ke tanah air ini, hanya Orang Asal yang berhak mendabik dada tanpa was-was.

Pucuk pimpinan pada masa ini tidak menunjukkan kesungguhan menangani isu penghijrahan rakyat ke luar negara. Alangkah sedihnya bahawa mereka tidak sedar betapa negara kerugian besar. Manusia adalah aset paling berharga sesebuah negara. Lihat sahajalah jiran tetangga kita yang dikatakan hanya sebesar noktah. Aset manusia merekalah dan sebilangan besar adalah dari Malaysia yang membawa mereka ke mercu kejayaan. Tanpa apa-apa sumber hasil sendiri, mereka berjaya melangkau jauh ke depan, sebaris negara-negara maju yang lain.

Malang sekali bagi kita, Malaysia semakin ketinggalan. Hasil negara entah ke mana, tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk semua golongan di serata pelusok dan daerah. Kita bertungkus-lumus membangunkan negara walaupun sumbangan kita tidak seberapa. Tentu sekali kita juga berhak menikmati hasilnya. Kita semua memang berhak ke atas kekayaan nagara ini. Bukan untuk golongan tertentu sahaja tetapi terbukti hanya peratusan kecil terus-menerus menikmati kemewahan dan tidak pula mereka rasa bersalah. Memang, perasaan bersalah itu tidak mungkin wujud dalam diri mereka kerana apa yang lebih penting ialah mengaut keuntungan sebanyak mungkin secepat mungkin selagi hayat masih ada.

Tamak dan haloba itulah panduan hidup kumpulan ini.

No comments: