Monday, January 17, 2011

Media lama menang ?

Rencana Ahirudin Atan yang tersiar di Malay Mail 6 Januari 2011 memberi satu pandangan yang menarik untuk direnung bersama. Dia menyatakan bahawa media lama telah berjaya mengalahkan media baru pada masa ini berdasarkan senario pertambahan pembaca media lama dalam laman-laman sesawangnya. Akhbar-akhbar aliran perdana semakin kurang pembelinya tetapi apa yang diperhatikan ialah pertambahan bilangan yang mengklik laman sesawang atau versi online mereka. Perkembangan ini kelihatan di seluruh dunia dan laman berita online setakat inii belum lagi mencapai tahap sedemikian.

Penulis mengambil contoh dari Alexa yang memberi maklumat tentang laman sesawang paling popular di Malaysia. Hanya ada tiga laman berita yang berada di kedudukan 25 ke atas dan dua daripadanya adalah versi online akhbar aliran perdana iaitu the Star (15) dan Utusan Malaysia (22). Malaysiakini (16) merupakan satu-satunya laman berita alternatif yang berjaya mencapai kedudukan yang tinggi. Prestasi akhbar aliran perdana terbukti sekali lagi apabila kita melihat data daripada Malaysian Digital Association untuk bulan November 2010. Enam akhbar aliran perdana yang mempunyai versi online berada pada kedudukan 30 ke atas iaitu the Star (9), Harian Metro (13), Utusan Malaysia (14), Berita Harian (16), Kosmo (19) dan Sin Chew Jit Poh (28). Senarai itu juga menunjukkan hanya Malaysiakini (11) dan the Malaysian Insider (23) yang berjaya mencapai kedudukan yang tinggi di antara laman-laman berita media baru.

Nampaknya pembaca yang sudah sebati dengan akhbar-akhbar aliran perdana tetap setia dengan versi online mereka. Setakat ini belum ada pula kajian yang dijalankan untuk menunjukkan peratusan pembaca media lama yang telah bertukar membaca versi online akhbar-akhbar tersebut dan sebab-sebabnya. Kesimpulan yang paling ketara ialah kerana versi itu percuma dan mudah diakses di mana-mana dengan bertambahnya alat-alat komunikasi yang semakin canggih.

Ini berbeza pula dengan Malaysiakini, satu-satunya laman berita yang mengenakan bayaran untuk mengakses lebih banyak berita yang ada di dalamnya. Pembaca hanya boleh membaca tajuk utama dan mungkin satu atau dua perenggan berkenaan sesuatu berita. Mungkin itu sudah mencukupi untuk sesetengah pembaca dan mereka yang mahukan lebih banyak maklumat akan bersedia membayar untuk menikmati faedahnya. Pembaca sedemikian sudah pasti bahawa apa yang akan dibaca nanti membawa pulangan dari sudut penulisannya. Ini adalah portal berita alternatif, memang yang ditulis tidak sehaluan dengan apa yang diperolehi dalam laman-lamab berita aliran perdana.

Bagaimana versi online the Star dapat bertahan? Lihat sahaja muka depan laman berita versi online akhbar itu setiap kali pembaca mengaksesnya. Iklan demi iklan akan kelihatan. Memang menyakitkan mata tetapi ada manfaatnya bagi pihak pengurusan kerana inilah sumber dana kewangan mereka. The Star dengan pengalaman sebagai salah satu akhbar aliran perdana yang paling laris mempunyai latar belakang yang cukup mantap dari segi kewangan untuk menerima jatuh bangun versi onlinenya. Matlamat supaya kekal sebagai laman berita yang paling laris dan berpengaruh di negara ini menjadikan versi online satu pertaruhan dan pelaburan yang boleh membawa pulangan yang amat lumayan. Jangka masa untuk mendapat pulangan tersebut mungkin mengambil masa bertahun-tahun lebih lama daripada sesuatu pelaburan yang tradisional tetapi itulah aliran masa kini. Generasi abad ke 21 lebih akrab dengan apa yang berlaku di alam maya dan kegiatan mereka banyak berkisar di situ. Kalau media aliran perdana tidak mengambil inisiatif menunjukkan keilbat di alam maya, sukarlah bagi mereka meneruskan matlamat menyebarkan maklumat yang tersurat dan tersirat kepada khalayak yang dikehendaki.

Apa yang menarik juga untuk diperhatikan ialah persamaan di antara berita yang tersiar dalam apa juga versi akhbar-akhbar aliran perdana. Bandingkan versi online Harian Metro dengan apa yang tercetak. Tidak ada apa-apa perbezaan ketara kecuali sesetengah berita yang dicetak tidak terdapat dalam versi online. Kekurangan ini mungkin juga satu kelebihan kerana para pembaca setia yang melihat versi online akan teruja membeli versi yang bercetak. Kumpulan ini selesa dengan apa yang terpapar dalam versi bercetak dan walaupun boleh mengakses versi online, kepuasan yang sama tidak dikecapi.

Lain pula halnya dengan kumpulan anak-anak abad iphone dan ipad. Mereka dan kumpulan yang selesa dengan teknologi terkini memang gemar dengan apa juga yang terdapat online. Lebih mudah dan lebih ringkas pada mereka. Tidak membuang masa. Satu klik sudah boleh memberikan maklumat yang diperlukan. Tidak perlu membaca analisa yang panjang berjela. Intipati padat yang diperolehi dalam genggaman sudah mencukupi sebagai bekalan untuk bersemuka dan menjadi tajuk perbincagan bersama-sama rakan-rakan di dalam dan di luar waktu kerja. Mungkin kerana itulah juga banyak analisa tentang sesuatu isu dimampatkan dan hanya hujah yang berkaitan ditekankan. Kadang-kadang membaca ringkasan sahaja boleh melahirkan kesimpulan yang tidak tepat dan menimbulkan perbalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Ada ketikanya pembacaan yang teliti diperlukan dan ulasan yang lebih mendalam tentang sesuatu berita itulah yang lebih penting bukan tajuk utamanya sahaja.

Laman berita baru memang menghadapi dugaan yang mencabar. Walaupun ramai yang mengklik sesuatu laman berita itu tetapi selama manakah pihak pengurusan mampu bertahan mengendalikannya. Banyak laman berita baru yang menghadapi masalah kewangan. Ketika ini ada sahaja laman berita baru yang timbul tetapi bukan semuanya bermutu atau berwibawa dan setengah-setengahnya bertindan maklumat. Ada pula yang disangsikan mempunyai dalang yang mempunyai motif tertentu. Pertimbangan tentang kebebasan dan sikap neutral perlu wujud di kalangan sesiapa sahaja yang berniat atau bercita-cita terjun ke dalam kancah media baru. Kalau niat pembaca hendak mengetahui tentang berita-berita terkini sepintas lalu, versi online laman-laman berita akhbar aliran perdana sudah memadai. Laman berita media baru mempunyai peranan memberi sudut pandangan yang lain terhadap sesuatu berita. Inilah yang dicari-cari oleh pembaca yang mahukan pandangan daripada pelbagai pihak tentang sesuatu. Jika media baru berjaya dalam misi ini, ramailah yang akan mengakses laman itu apabila mula dilancarkan dan akan kekal menjadi pembaca yang setia. Ujian paling getir adalah bagaimana laman tersebut meneruskan kewujudannya di alam maya..

1 comment:

Anonymous said...

asslaam..ape beza media baru dan media lama?dan sejauh manakah pengaruh kedua2 media tersebut dalam kehidupan kite?