Saturday, March 24, 2012

Jangan terlalu cepat menghukum remaja bermasalah


Saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya masyarakat tidak terlalu cepat menghukum remaja yang bermasalah tetapi cuba mendekati golongan terbabit dengan menggunakan kaedah kaunseling patut direnung bersama.

Ibu bapa juga pernah melalui zaman remaja dan seharusnya sedar bahawa ketika itulah pelbagai dugaan dan cabaran melanda jiwa kita. Kita bukan sahaja berhadapan dengan alam persekolahan malah mungkin pada masa inilah perasaan mahu berpasangan timbul. Pendekatan yang lebih menyeluruh memang patut diambil supaya remaja tidak terasa diri mereka tersisih daripada lingkungan kelurga. Perubahan fisiliogi dan fizikal seseorang mungkin tidak difahami remaja itu dan dia bertanya serta berkongsi pengalaman bersama-sama rakan-rakan sebaya.

Memang sukar untuk ibu bapa merapatkan jurang perbezaan pendapat dan emosi apabila remaja sedang menggelodak jiwanya. Remaja lebih selesa dan yakin dengan teman-temannya yang mungkin membawa mereka ke jalan penyelesaian yang tidak menepati kehendak keluarga. Ibu bapa janganlah leka mengejar dan mencari nafkah sahaja. Permasalahan ini memang merupakan dilema masa kini, mencari keseimbangan di antara kerjaya atau anak=anak di rumah.

Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang berat memastikan anak remaja mereka tidak dipengaruhi anasir-anasir yang boleh membawa mudarat. Masa untuk bersama-sama anak-anak mesti menjadi keutamaan kerana kalau ibu bapa tidak ada sebagai panduan, remaja tersebut akan mencari jawabannya daripada sumber lain. Kita sudah tentu tidak tahu sama ada sumber itu boleh dipercayai atau tidak. Oleh itu, pupuklah suasana mesra bersama anak-anak supaya mereka rasa selesa dan yakin meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Sikap terbuka, mahu mendengar dan tidak menghukun dahulu, bertanya kemudian mesti diamalkan. Anak remaja kita sekurang-kurangnya tahu ibu bapa mereka sentiasa bersedia mendengar luahan hati mereka. Ibu bapalah yang paling hampir dengan mereka dan lebih mengenali watak dan jiwa anak itu.

Remaja memerlukan ibu bapa yang lebih berkeyakinnan bahawa apa juga keputusan yang diambil oleh anak tadi dalam menghadapi sesuatu masalah, telah difikirkan masak-mask dengan mengambilkira pendapat dan pandangan ibu bapa terlebih dahulu.

Image from smgr1991

No comments: