Friday, May 28, 2010

Dr. M kongsi rahsia kekal muda

Berita “Dr. M kongsi rahsia kekal muda” yang tersiar dalam Utusan Malaysia  28 Mei 2010 memang menarik. Pada dasarnya saya bersetuju dengan kenyataan beliau supaya kita “Lakukan sesuatu yang menyeronokkan diri dan nikmati kerjaya serta hidup anda untuk kekal muda dan sihat pada usia emas.”


Tetapi perenggan seterusnya dalam berita itu memetik “beliau mengakui suka mengkritik terutamanya terhadap ahli politik lain dengan tanggapan dirinya lebih hebat berbanding mereka.” membuka ruang persoalan tentang kebebasan bersuara di negara ini.

Dr. M sebagai seorang bekas Perdana Menteri diberi ruang yang begitu luas untuk menyatakan pendapatnya tentang apa juga topik dan seperti katanya, jika tidak disiarkan media perdana pun, blognya masih dapat dinikmati semua. Bagaimana pula pendapat rakyat jelata? Bagaimana caranya pendapat rakyat boleh disampaikan kepada para pemimpin ketika beliau berkuasa dan selepas dia bersara. Saya tidak nampak apa-apa perubahan yang ketara dalam hal hubungan dua hala di antara pemimpin dan yang dipimpin.

Mungkin ramai pemimpin yang telah mempunyai akaun twitter dan facebook tetapi setakat manakah maklum balas daripada rakyat yang diberi perhatian atau disusuli dengan tindakan yang lebih konkrit.

Seingat saya, selama lebih 20 tahun menerajui pucuk pimpinan negara, bekas perdana menteri Malaysia yang keempat tidak senang dan tidak suka mendengar pendapat orang lain. Salah satu sikap Dr. M yang terserlah ketika memimpin negara ialah tanggapan dirinya lebih hebat daripada yang lain. Mungkin itu salah satu sifat yang perlu ada pada seseorang pemimpin supaya visi dan agendanya untuk negara dapat dilaksanakan tanpa banyak bantahan. Lihatlah akibatnya.

Dr. M memerintah ketika era internet masih belum lagi tersebar luas dan mereka yang mahu memberi pendapat akan disoal atau ditahan kerana mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza daripada apa yang rasmi. Ketika itulah khabar-khabar angin lebih banyak dipercayai ramai berbanding lidah rasmi pemerintah. Tetapi memang seperti yang dikatakan, era internet memberi peluang sama rata kepada semua untuk memberi pandangan tentang apa juga yang dilakukan sesiapa, baik pemimpin atau rakyat biasa.

Petua kekal muda dan sihat pada usia emas ala Dr. M pastinya untuk semua kerana kita memang suka memberi pandangan dan pendapat. Persoalannya, adakah semua luahan itu akan kekal sebagai pandangan dan pendapat sahaja atau kita boleh mengharapkan sesuatu yang lebih positif daripada pihak yang berkuasa?

No comments: