Saturday, August 21, 2010

Sensiviti Islam

Di bawah ini adalah terjemahan bebas rencana yang tersiar di The Nut Graph 20 Ogos 2010.


"Sensitiviti Islam" - Ke arah mana kita dibawa?

Perkasa menjadi berita lagi. Dan kali ini dilakukan sendiri, bukan kerana media yang sukakan berita sensasi cuba berjinak-jinak dengan kumpulan nasionalis Melayu ini dalam rangka meningkatkan pembaca.
Persembahan gereja menghina?
Persembahan gereja menghasut dan menghina?
Dalam tindakan Perkasa yang terkini, pengerusi bahagian Petaling, Zainal Abidin Ahmad, membuat laporan polis terhadap sebuah gereja Protestan di Shah Alam dan paderinya kerana merancang akan mengadakan satu persembahan Kristian dalam bulan Ramadhan. "Kami mahu gereja itu dan paderinya diselidik kerana menghasut dan menghina Sultan," kata Zainal Abidin kepada The Malaysian Insider pada 17 Ogos 2010. Zainal Abidin juga menuduh gereja tersebut sengaja berusaha berkhutbah tentang agama Kristian kepada warga Islam di Shah Alam yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
Kita mungkin leka berfikir bahawa masalah ini terhad kepada satu kumpulan hak-hak Melayu, dan sudah semestinya Islam, membuat tuduhan liar terhadap rakyat Malaysia yang bukan-Islam dan bukan-Melayu. Kalaulah itu sahaja yang terjadi. Sayangnya, lebih banyak yang terlibat. Memang, apa yang sebenarnya yang dipertaruhkan adalah kawalan ruangan awam dan apa ertinya bagi kita semua.
Ruangan saya, bukan orang lain.
Apakah sebenarnya tindakan Perkasa di Shah Alam ini. Ia mengatakan bahawa kerana ini bulan Ramadhan dan kerana Shah Alam adalah kawasan yang majoriti penduduknya Islam, tidak ada kumpulan agama lain dibenarkan mengamalkan kebebasan beragama, berekspresi atau berpersatuan. Jika mereka lakukan, mereka boleh dituduh menghasut, menghina raja Melayu, dan jenayah berdakwah kepada umat Islam.
Saya menduga bahawa menggunakan alasan penghasutan dan lain-lain hanyalah cara menegaskan kawalan dan kekuasaan. Dengan menggambarkan bukan-Melayu dan bukan-Islam sebagai penjahat yang paling dahsyat, menjadi lebih mudah untuk ahli masyarakat yang kurang berfikir percaya bahawa hak perlembagaan bukan-Islam berhak dihalang.
Kita mungkin boleh menganggap Zainal Abidin, dan bahkan Perkasa secara keseluruhan, seperti orang gila. Itu sudah tentu satu kesilapan. Ini kerana Zainal Abidin dan Perkasa bukan satu-satunya sahaja yang ingin kawalan penuh terhadap ruangan awam, dan yang menggunakan versi tertentu Islam untuk melakukan pengendalian itu. Selain itu, bukan mereka sahaja yang melakukan hal ini dengan mengorbankan hak-hak dan kebebasan warga negara yang lain.
Mari kita ingat kembali bahawa sebelum Perkasa mula menjadi berita utama, lembaga penapis filem kebangsaan pada tahun 2005 telah mengharamkan filem Babe kerana dibintangi seekor babi sebagai tokoh utama, yang haram dalam Islam. Setelah itu, terdapat anekdot dari ibu bapa mengatakan bahawa di beberapa sekolah, kanak-kanak bukan-Islam diberitahu apa yang mereka boleh dan tidak boleh bawa dalam bekas makanan mereka sebagai menghormati sensitiviti Islam.
Seorang kolumnis Malaysia juga pernah mengatakan kepada saya bahawa perkataan "pigmentasi" ditapis daripada sebuah filem dokumentari yang ditontoninya kerana kemungkinan suku kata pertama adalah "babi". Dan pada tahun 2007, saya dapati bahawa farmasi Guardian tidak menawarkan Piglet sebagai sebahagian daripada promosi hadiah penebusan watak Winnie Pooh.
Masjid Seksyen 6, Petaling Jaya pula tidak ragu-ragu melaungkan bacaan terawih sampai larut malam pada tahap bunyi yang tidak mengambil kira lingkungan sekitar.
Kita juga perlu ingat tentang tindakan PAS sendiri untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam domain awam. Setiap kali Pemuda PAS membantah sesuatu konsert, apa sebenarnya yang dilakukan adalah memberitahu semua orang - Islam dan bukan-Islam - yang imannya tidak akan terancam dengan menghadiri konsert itu, bahawa mereka tidak boleh berbuat begitu kerana PAS mengatakan demikian. Begitu juga, ketika PAS Selangor cuba melarang penjualan bir di daerah majoriti Islam di negari itu, apa yang dikatakan parti itu adalah bahawa gaya hidup semua bukan-Islam mesti tunduk kepada sebilangan yang Islam.
Oleh itu larangan dalam ruangan awam tidak hanya merangkumi apa yang dibenarkan untuk dilakukan gereja Protestan selama Ramadhan. Hal ini juga mempengaruhi makanan anak-anak kita yang dibenarkan di sekolah, minuman yang boleh dibeli bukan-Islam di persekitaran mereka, filem dan konsert dan kata-kata yang diizinkan untuk ditonton dan didengar, hadiah yang dapat ditebus di farmasi, dan gelombang udara di persekitaran kita.
Peristiwa ini memperkatakan apa kepada kita? Ia mengatakan kepada kita bahawa ada usaha perlahan-lahan walaupun tidak bersepadu oleh pemerintah dan bukan pemerintah untuk menentukan apa yang halal secara umum dan apa yang tidak. Tidak menjadi masalah jika tidak ada sebenarnya dalam Islam larangan terhadap bukan-Islam daripada membuat pementasan drama Kristian selama bulan Ramadhan, minum arak, makan daging babi dan menonton watak babi di panggung.
Intinya? Ruangan awam bukan lagi ruangan semua orang. Ruangan itu hak mereka - orang Melayu Islam yang percaya bahawa bayangan kepekaan mereka sahaja sudah memberi mereka hak untuk menghalang orang lain daripada menggunakan ruangan awam.
Perkara yang paling besar.
Larangan paling besar daripada semua larangan dalam konteks Malaysia saat ini tentu sahaja, larangan kerajaan Barisan Nasional (BN) bersabit perkataan "Allah", "solat", "Kaabah" dan "Baitullah" di kalangan bukan-Islam.
Walaupun Islam tidak memiliki hak cipta untuk perkataan Arab, kerajaan BN menegaskan bahawa kata-kata itu milik umat Islam, dan umat Islam sahaja. Terutama orang Islam Malaysia yang tampaknya cenderung menjadi bingung jika jemaah lain menggunakan kata-kata yang sama.
Bolehkah sesuatu agama memiliki perkataan tertentu daripada bahasa Arab?
Bolehkah Malaysia melarang bukan-Islam daripada menggunakan bahasa Arab?
Larangan "Allah" dan tiga perkataan lain tidak berbeza daripada apa yang Perkasa lakukan di Shah Alam. Sepatah perkataan umum yang digunakan, seperti ruangan-ruangan awam yang dikongsi, hanya milik umat Islam. Seolah-olah pelakon pihak pemerintah Islam dan bukan pemerintah menyatakan, "ruangan kami, bukan orang lain. Perkataan kami, bukan orang lain. "
Oleh kerana tuntutan mereka tidak memiliki legitimasi sejarah, budaya atau undang-undang, mereka mengutuk bukan-Islam, menuduh mereka berbuat jahat dan berniat buruk. Mereka juga menggunakan kuasa negara untuk mengenakan dan menegakkan pemilikan ke atas "ruangan kami" dan "perkataan kami".
Perkara paling besar bukanlah hakikat lanskap politik kita yang semakin dipenuhi dengan tuntutan tidak rasional dan tuduhan liar daripada pihak-pihak Islam Malaysia yang tertentu. Perkara paling besar adalah bahawa semakin banyak usaha yang lebih dan lebih bersepadu oleh kuasa-kuasa ini, yang meliputi kerajaan persekutuan yang dipimpin UMNO, untuk mengambil alih ruangan awam yang dikongsi bersama.
Di manakah kesudahannya?
Setelah cerita tentang laporan polis Perkasa tersiar, ada seseorang di Twitter mengulas bahawa kita seterusnya boleh mengagak ada pula laporan polis yang akan diajukan terhadap bukan-Islam yang makan dalam bulan Ramadhan. Memang, saya percaya bahawa senario ini tidak terlalu dibuat-buat jika kita terus biarkan orang yang cuba mengendalikan domain awam untuk kepentingan fanatik sempit mereka sendiri, terus melakukan apa yang mereka lakukan.
Sekarangpun, bukan-Islam terus-menerus diminta untuk tunduk kepada kepekaan beberapa pihakIslam. Memandangkan tahap "sensitiviti" Islam yang diwarwarkan, kita akan terfikir orang Islam ini menjalani hidup mereka seperti puting terdedah, sentiasa terangsang. Walaupun pada hakikatnya, kita tahu bahawa orang Islam adalah manusia yang berfikir dan rasional yang memiliki salah satu sejarah tamadun yang paling maju.
Sudah tentu perlu ada perasaan hormat-menghormati adat dan sistem kepercayaan yang berbeza. Tetapi "sensitiviti Islam" tidak boleh dan tidak harus menjadi kayu pengukur yang digunakan supaya warga negara bukan-Islam ditolak haknya untuk makan daging babi, menonton wayang atau menggunakan perkataan "Allah". Jika kita membiarkan perkara itu terjadi, kita akan menjadi bangsa yang berperilaku seperti puting terdedah yang berjaya mengalahkan hak berperlembagaan dalam kebebasan beragama, berhimpun, berpersatuan dan berekspresi.

No comments: