Benar kata penulis surat kepada ruangan Forun Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 2012 bahawa memang sukar mendapat rawatan di hospital swasta jika tidak berduit.. Bermula di kaunter pertanyaan itu sendiri kita akan berdepan dengan pelbagai soalan dan permintaan. Wang cagaran adalah wajib jika hendak maju selangkah lagi dan mendapatkan rawatan. Syarat wajib ini bukanlah sesuatu yang boleh diberi kelonggaran walaupun orang yang datang meminta bantuan berada pada tahap genting antara hidup dan mati.
Kita mungkin mempersoalkan sama ada perkara seperti ini benar-benar berlaku. Setakat ini belum ada bukti yang sahih bahawa hospital swasta menghalang sesiapa yang tidak mempunyai wang cagaran daripada menerima rawatan di situ. Kita hanya sering mendengar kisah sedih ini tentang orang lain dan bukan yang melibatkan kaum keluarga atau sahabat yang rapat.
Akibatnya semua yang telah ditolak daripada menerima rawatan di hospital swasta beralih arah ke hospital kerajaan. Padanlah perkhidmatan dan layanan di hospital kerajaan rata-rata masih di tahap lama akibat banjiran orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan. Hospital kerajaan seperti yang kita sedia maklum amat kekurangan daripada segi kakitangan dan ruang. Ramai pula para doktor di situ yang menunggu sahaja peluang beralih tempat dan menjadi doktor pakar yang disegani di sektor swasta. Berterusanlah hospital kerajaan kekurangan tenaga mahir untuk merawat majoriti rakyat yang tidak berpendapatan tinggi.
Wajibkah hospital swatsa menerima pelbagai jenis rupa dan perangai manausia tanpa wang cagaran? Nama pun hospital swasta bukan, jadi sudah tentu wang ringgit menjadi keutamaan. Tidak salah mengaut kuntungan jika kena gayanya. Terfikir pula, tidakkah ada garis panduan yang menyatakan bahawa hospital swasta wajib memberi rawatan serta-merta apabila ada kes-kes kecemasan yang melibatkan hidup atau matinya seseorang?
Memanglah wang ringgit merupakan matlamat utama penubuhan sesebuah hospital swasta tetapi ruang untuk bertimbangrasa dan berperikemanusiaan mesti wujud kerana tugas mereka adalah merawat mereka yang memerlukan.
Image from kl-today
No comments:
Post a Comment